PERCERAIAN DALAM ISLAM
Di dalam
Islam,
penceraian merupakan sesuatu yang tidak disukai oleh Islam tetapi
dibolehkan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu. Penceraian boleh
dilakukan dengan cara
talak,
fasakh dan
khuluk atau tebus talak.
Talak
Talak menurut bahasa bermaksud melepaskan ikatan dan menurut syarak pula, talak membawa maksud melepaskan ikatan
perkahwinan dengan lafaz talak dan seumpamanya. Talak merupakan suatu jalan penyelesaian yang terakhir sekiranya
suami dan
isteri tidak dapat hidup bersama dan mencari kata sepakat untuk mecari kebahagian berumahtangga. Talak merupakan perkara yang dibenci
Allah s.w.t tetapi dibenarkan.
Hukum talak
Hukum |
Penjelasan |
Wajib |
a) Jika perbalahan suami isteri tidak dapat didamaikan lagi
b) Dua orang wakil daripada pihak suami dan isteri gagal membuat kata sepakat untuk perdamaian rumahtangga mereka
c) Apabila pihak kadi berpendapat bahawa talak adalah lebih baik
d) Jika tidak diceraikan keadaan sedemikian, maka berdosalah suami |
Haram |
a) Menceraikan isteri ketika sedang haid atau nifas
b) Ketika keadaan suci yang telah disetubuhi
c) Ketika suami sedang sakit yang bertujuan menghalang isterinya daripada menuntut harta pusakanya
d) Menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus atau talak satu
tetapi disebut berulang kali sehingga cukup tiga kali atau lebih |
Sunat |
a) Suami tidak mampu menanggung nafkah isterinya
b) Isterinya tidak menjaga maruah dirinya |
Makruh |
Suami menjatuhkan talak kepada isterinya yang baik, berakhlak mulia dan mempunyai pengetahuan agama |
Harus |
Suami yang lemah keinginan nafsunya atau isterinya belum datang haid atau telah putus haidnya |
Rukun talak
Perkara |
Syarat |
Suami |
Berakal
Baligh
Dengan kerelaan sendiri |
Isteri |
Akad nikah sah
Belum diceraikan dengan talak tiga oleh suaminya |
Lafaz |
Ucapan yang jelas menyatakan penceraiannya
Dengan sengaja dan bukan paksaaan |
Contoh lafaz talak
Lafaz yang jelas dengan bahasa yang berterus-terang seperti “Saya
talak awak” atau “Saya ceraikan awak” atau “Saya lepaskan awak daripada
menjadi isteri saya” dan sebagainya.
Lafaz yang digunakan secara sindiran oleh suami seperti “Pergilah
awak ke rumah mak awak” atau “Pergilah awak dari sini” atau “Saya benci
melihat muka awak” dan sebagainya. Namun, lafaz kinayah memerlukan niat
suaminya iaitu jika berniat talak, maka jatuhlah talak tetapi jika tidak
berniat talak, maka tidak berlaku talak.
Jenis talak
Talak raj’i
Suami melafazkan talak satu atau talak dua kepada isterinya. Suami
boleh merujuk kembali isterinya ketika masih dalam idah. Jika tempoh
idah telah tamat, maka suami tidak dibenarkan merujuk melainkan dengan
akad nikah baru.
Talak bain
Suami melafazkan talak tiga atau melafazkan talak yang ketiga kepada
isterinya. Isterinya tidak boleh dirujuk kembali. Si suami hanya boleh
merujuk setelah isterinya berkahwin lelaki lain, suami barunya
menyetubuhinya, setelah diceraikan suami barunya dan telah habis idah
dengan suami barunya.
Talak sunni
Suami melafazkan talak kepada isterinya yang masih suci dan tidak disetubuhinya ketika dalam tempoh suci
Talak bid’i
Suami melafazkan talak kepada isterinya ketika dalam haid atau ketika suci yang disetubuhinya.
Talak taklik
Talak taklik ialah suami menceraikan isterinya bersyarat dengan
sesuatu sebab atau syarat. Apabila syarat atau sebab itu dilakukan atau
berlaku, maka terjadilah penceraian atau talak.
Contohnya suami berkata kepada isteri, “Jika awak keluar rumah tanpa
izin saya, maka jatuhlah talak satu.” Apabila isterinya keluar dari
rumah tanpa izin suaminya, maka jatuhlah talak satu secara automatik.
Ia juga boleh berlaku selepas akad nikah (ia dipraktikkan di Malaysia
dan wajib oleh semua pengantin lelaki untuk melafaznya), berkata, “Jika
saya menyeksa isteri saya dengan sengaja, atau saya meninggalkan isteri
saya selama empat bulan berterusan dengan sengaja tanpa kerelaannya,
dan jika ia mengadu kepada kadi atau naib kadi, apabila disabitkan oleh
kadi atau naib kadi maka jatuhlah talak satu ke atas isteri saya.”
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984
Malaysia, Cerai taklik (seksyen 50)
Taklik adalah perjanjian yang ditandatangani semasa pernikahan. Ia
membenarkan siisteri memohon perceraian sekiranya sisuami melanggar
mana-mana syarat yang terdapat dalam taklik tersebut, misalnya, jika dia
tidak membayar nafkah, atau sisuami menyebabkan kemudaratan dengan
mencederakan isteri. Mahkamah akan membuat siasatan akan kesahihan
kenyataan dan sekiranya berpuas hati mahkamah akan mengesahkan dan
merekodkan perceraian tersebut. Bukti seperti laporan polis dan laporan
hospital boleh membantu dalam hal ini
Contoh taklik berlaku dengan cara, “Jika saya menyeksa isteri saya
dengan sengaja, atau saya meninggalkannya selama empat bulan berterusan
tanpa kerelaannya, dan jika ia mengadu kepada kadi atau naib kadi serta
membayar RM 1.00 sebagai tebus talak, apabila disabitkan oleh kadi atau
naib kadi maka jatuhlah talak satu ke atas isteri saya dengan nilai
tebus talak tersebut.”
Fasakh
Erti
fasakh menurut bahasa ialah rosak atau putus. Manakala
menurut syarak pula, pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu sifat yang
dibenarkan syarak, misalnya, perkahwinan suami isteri yang difasakhkan
oleh kadi disebabkan oleh suaminya tidak mempu memberi nafkah kepada
isterinya. Fasakh tidak boleh mengurangkan bilangan talaknya.
Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri sekiranya terdapat beberapa
sebab atau kecacatan yang terdapat pada pihak suaminya. Mengikut mazhab
Shafie, seorang isteri boleh menuntut fasakh melalui kadi atau
mahkamah disebabkan oleh kekurangan suaminya seperti gila (berkekalan atau sekejab); penyakit
kusta;
penyakit sopak; penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan
persetubuhan; suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya
seperti makan dan minum serta tempat tinggal, pakaian, memberi
mahar
dengan cara tunai sebelum bersetubuh kerana kepapaan atau muflis atau
sebagainya; suami tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan isterinya
terlalu lama dan tidak memberi khabar berita; suami yang menzalimi dan
memudaratkan isterinya; suami yang fasik serta melakukan maksiat
terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan murtad
salah seorang (suami atau isteri).
Cara melakukan fasakh
- Jika suami atau isteri mempunyai sebab yang megharuskan fasakh
- Membuat aduan kepada pihak kadi supaya membatalkan perkahwinan mereka
- Jika dapat dibuktikan pengaduan yang diberikan adalah betul, pihak kadi boleh mengambil tindakan membatalkannya
- Pembatalan perkahwinan dengan cara fasakh tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru.
DI Malaysia, ia jatuh di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Cerai fasakh (seksyen 52)
Cerai fasakh adalah cara membubarkan perkahwinan berdasarkan
sebab-sebab tertentu. Menurut seksyen 52 (1), terdapat 12 sebab
membolehkan membuat permohonan fasakh.
Antara sebabnya ialah :-
- tempat suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun;
- suami tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tiga bulan;
- suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih;
- suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.
- suami mati pucuk masa berkahwin hingga sekarang dan ini tidak diketahui puan;
- suami telah gila selama dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta, vitiligo atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit;
- jika perempuan dikahwinkan oleh wali mujbir perempuan sebelum
baligh, perempuan masih belum disetubuhi suami dan masih belum mencapai
umur 18 tahun, kini menolak perkahwinan itu.
Bagaimanapun permohonan cerai fasakh tertakluk oleh mahkamah dan
mahkamah berhak menolak sekiranya mendapati bahawa kesahihan alasan
tersebut tidak terbukti.
Khuluk atau tebus talak
Perpisahan antara suami dan isteri melalui tebus talak sama ada
dengan menggunakan lafaz talak atau khuluk. Pihak isteri boleh
melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan mereka jika ia tidak
berpuas hati atau lain-lain sebab. Pihak isteri hendaklah membayar
sejumlah wang atau harta yang dipersetujui bersama dengan suaminya, maka
suaminya hendaklah menceraikan isterinya dngan jumlah atau harta yang
ditentukan.
Hukum khuluk adalah berdasarkan surah al-Baqarah ayat 229 : “
Tidak
halal bagi kamu mengambil apa-apa yang telah kamu berikan kepada mereka
suatu jua pun, kecuali jika takut kedua-duanya tidak akan mengikut
peraturan Allah s.w.t.. Jika kamu takut bahawa tidak akan mengikut
peraturan Allah maka tiadalah berdosa kedua-duanya tentang barang yang
jadi tebus oleh perempuan.”
Ia biasanya dilakukan di depan hakim mahkamah syariah. Talak boleh
jatuh dengan menyebut “Saya menceraikan kamu dengan bayaran RM 10,000,”
dan isterinya menjawab, “Saya menerimanya.” Apabila suami melafazkan
demikian, dan isterinya menyahut tawaran itu, dengan serta-merta
jatuhlah talak dengan khuluk dan isterinya wajiblah beridah. Suami
isteri hanya boleh merujuk dengan akad nikah baru sahaja.
[1]
Tujuan khuluk
- Memelihara hak wanita
- Menolak bahaya kemudaratan yang menimpanya
- Memberi keadilan kepada wanita yang cukup umurnya melalui keputusan mahkamah.
Rujuk
Menurut bahasa rujuk boleh didefinisikan sebagai kembali. Manakala
menurut syarak, ia membawa maksud suami kembali semula kepada isterinya
yang diceraikan dengan ikatan pernikahan asal (dalam masa idah) dengan
lafaz rujuk.
Hukum rujuk
Hukum |
Penjelasan |
Wajib |
Bagi suami yang menceraikan isterinya yang belum menyempurnakan gilirannya dari isteri-isterinya yang lain |
Haram |
Suami merujuk isterinya dengan tujuan untuk menyakiti atau memudaratkan isterinya itu |
Makruh |
Apabila penceraian lebih baik antara suami dan isteri |
Harus |
Sekirannya rujuk boleh membawa kebaikan bersama |
Rukun rujuk
Perkara |
Syarat |
Suami |
Berakal
Baligh
Dengan kerelaan sendiri |
Isteri |
Telah disetubuhi
Berkeadaan talak raj’i
Bukan dengan talak tiga
Bukan cerai secara khuluk
Masih dalam idah |
Lafaz |
Ucapan yang jelas menyatakan rujuk
Tiada disyaratkan dengan khiar atau pilihan
Disegerakan tanpa dikaitkan dengan taklik atau bersyarat
Dengan sengaja dan bukan paksaan |
Contoh lafaz rujuk
Lafaz sarih
Lafaz terang dan jelas menunjukkan rujuk. Contoh : “Saya rujuk awak
kembali” atau “Saya kembali semula awak sebagai isteri saya.”
Lafaz kinayah
Lafaz kiasan atau sindiran. Contoh : “Saya jadikan awak milik saya
semula” atau “Saya pegang awak semula”. Lafaz kinayah perlu dengan niat
suami untuk merujuk kerana jika dengan niat rujuk, maka jadilah rujuk.
Namun jika tiada niat rujuk, maka tidak sahlah rujuknya.
https://ms.wikipedia.org/wiki/Perceraian_dalam_Islam